Lelaki sebagai Qawwam: Bertanggungjawab menjamin kesejahteraan keluarga





Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama






 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 November. - Dalam Islam, konsep Qawwam merujuk kepada peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga yang bertanggungjawab, penyayang, berhemah serta menjaga kesejahteraan keluarganya dengan penuh hikmah.


Kekuatan lelaki sejati, menurut agama tidak menafikan keperluan untuk mengurus emosi atau mendapatkan bantuan apabila diperlukan. Masyarakat juga perlu lebih memahami realiti kerentanan jiwa yang dialami oleh lelaki di sebalik tekanan dan tuntutan sosial yang tinggi.


Demikian antara pekara yang ditekankan di dalam tazkirah bertajuk 'Lelaki Sejati dalam Islam: Kekuatan Qawwam dan Realiti Kerentanan Jiwa' yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Agama, Calon Doktor Falsafah (Psikologi Islam), Jabatan Hal Ehwal Syariah, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid bagi menyerikan Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-207 dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park bersempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki 2025.


Menurut Awang Muhammad Yussof lagi, meneladani akhlak Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang penuh empati, bersikap terbuka dan sentiasa bermusyawarah, tiga tindakan utama perlu diberi perhatian: pertama, lelaki digalakkan mencari bantuan ketika mengalami tekanan; kedua, keluarga wajar mewujudkan ruang dialog yang selamat di rumah; dan ketiga, masjid disarankan untuk berfungsi sebagai pusat sokongan komuniti yang mesra terhadap isu kesihatan mental.


Lelaki sejati tambahnya bukanlah lelaki yang tidak pernah lemah, tetapi yang berani memperbaiki kelemahan diri, memohon pertolongan daripada Allah Subhanahu Wata'ala dan mendapatkan sokongan daripada orang di sekelilingnya.


Acara Munajat malam tadi menyaksikan penyertaan daripada para pegawai dan kakitangan Pusat Perubatan Jerudong Park yang bersiaran secara maya dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.


Hadir bagi sama-sama menyerikan lagi Malam Munajat tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Turut serta, para jemaah dari beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja KHEU dan juga individu dari kediaman masing-masing.


Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Ketua Jabatan Perubatan Onkologi dan Unit Paliatif, Pusat Kanser Brunei, Pusat Perubatan Jerudong Park, Dr. Haji Awang Zulkhairi bin Haji Mohamad diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Eksekutif Pentadbiran Pusat Perubatan Jerudong Park, Awang Mohd. Rusydi bin Haji Morsidi.


Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengajian Islam, Ketua Guru Ugama, Pusat Perubatan Jerudong Park, Awang Haji Ishkandar bin Haji Buntar.


Selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh para pegawai dan kakitangan Pusat Perubatan Jerudong Park. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat III, Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong, Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Haji Muhammad Yadiy bin Haji Yussof.


Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.


Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: 'http://tiny.cc/munajatkheu'.


Close